Jemput masuk....

Monday, January 17, 2011

Signal Kereta

Situasi 2 ( 17 Januari 2011, ISNIN )


Seperti biasa, aku akan ke kuliah menaiki motor kesayanganku, DBB7764 yang telah dihadiahkan oleh insan tersayang, Nazri. Sejak ada motor, aku lebih mudah untuk bergerak terutamanya apabila perbincangan yang menyebabkan aku terpaksa bergerak ke Kolej Harun Aminurrasid, KHAR memandangkan hanya aku yang terpinggir dan tercampak ke Kolej Aminuddin Baki, KAB. Namun demikian, ini sudah menjadi perkara biasa dalam hidupku memandangkan aku tinggal jauh dari kawan-kawan dalam program Pendidikan Bahasa Melayu yang rata-rata menginap di KHAR. 

Peristiwa yang ingin diceritakan ini berlaku kira-kira dalam jam dua petang. Semasa aku dalam perjalanan ke kampus, aku melihat ada kenderaan yang telah melanggar lampu isyarat berdekatan dengan kawasan kampus. Sepatutnya apabila melihat warna merah, jadi kita perlu memberhentikan kenderaan. Namun berlainan pula dengan pemandu kereta Kancil berwarna merah, pemandu tersebut masih meneruskan pecutan keretanya walaupun warna telah bertukar kepada merah. Ini boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.

signal kereta
Kemudian apabila sampai di hadapan kawasan kampus, ada pula kereta yang tidak memberi signal untuk membelok ke kiri atau kanan menyebabkan aku hampir terlanggar kereta tersebut. Nasib baik sempat menekan brek. Ini sangat membahayakan apabila pemandu di belakang tidak dapat mengetahui arah sebenar pemandu di hadapan sama ada ingin membelok ke kiri atau kanan.



signal motosikal


.Ada juga beberapa buah motosikal yang tidak memberikan signal semasa di dalam kawasan kampus. Di dalam kampus, sekali lagi aku hampir melanggar sebuah motosikal di hadapanku. Dalam simpang tiga, sepatutnya beliau memberikan signal sama ada ingin membelok ke kiri atau kanan. Perkara yang sama juga dilakukan, beliau tidak memberikan signal untuk ke kiri, tetapi terus sahaja memandu ke kiri. Aku yang berada di belakang keliru dan tidak dapat mengagak arah sebenar. Namun, mungkin berkat doa yang dibaca semasa ingin menaiki kenderaan yang menyebabkan aku terselamat dari nahas jalan raya

Ulasan aku : Sepatutnya orang yang sudah mempunyai lesen memandu haruslah mematuhi peraturan dan undang-undang di jalan raya tidak kiralah dimana saja kita berada. Jika kita melanggar peraturan jalan raya, ini boleh menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Sekiranya kita sama-sama mengikuti peraturan jalan raya yang telah ditetapkan sudah pasti dapat mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini seperti apa yang berlaku kepada peristiwa di atas. Disiplin di jalan raya juga sangat penting. Jadi, bagi pemandu yang sudah mempunyai lesen,jangan sampai orang berkata "kamu hanya ada lesen yang dibeli"

suzie suziana bersama DBB 7764 ( patuhi peraturan jalan raya )

Situasi 1 (16 Januari 2011)

Keadaan sesak di KL Sentral
Aku telah bercadang untuk melawat keluarga kakakku, Kak Wanie di Bandar Sunway pada hari Sabtu,15 Januari 2011. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam dari Tanjung Malim ke Bandar Sunway. Aku menaiki KTM Komuter. Dalam perjalanan akan berlakulah pertukaran Komuter di Rawang dan KL Sentral.

Satu peristiwa yang telah menimbulkan kemarahan dalam hatiku apabila berlakunya tolak menolak semasa ingin menaiki Komuter di KL Sentral. Keadaan di situ penuh sesak. Situasi yang menyedihkan apabila mereka terus-terusan menolak antara satu sama lain sehingga menyebabkan seorang warga tua telah terjatuh. Namun mereka tidak menghiraukan apa yang telah terjadi. Melihat keadaan itu aku terus mengatur langkah menuju kearah nenek tersebut lalu menolongnya untuk bangun.

Persoalannya di sini : Tidak wujudkah belas kasihan dan disiplin dalam kalangan  penumpang tersebut?

Kritikan aku : Sepatutnya wujud tolak ansur dan disiplin dalam kalangan mereka. Apa salahnya naik seorang demi seorang. Mereka juga sepatutnya melatih diri untuk berdisiplin dan tidak berebut semasa menaiki Komuter tersebut sehingga telah menimbulkan sikap pentingkan diri sendiri. Mereka sepatutnya dahulukan warga tua dan menghormatinya. Tidak salah sekiranya kita menanamkan sikap menghormati antara satu sama lain dan saling menyayangi. Sekiranya sikap ini dapat dipupuk, kemungkinan nenek itu tidak akan terjatuh dan dapat naik dengan selamat. Inilah yang perlu dijadikan pengajaran kepada kita. (",)